Sunday, March 7, 2010

Congrats Pari!

Dipetik dari Harian Metro (7 Mac 2010)


Tetap pergi kuliah walau dipapah

2010/03/07

GOMBAK: “WALAU terpaksa dipapah, saya tetap mahu ke kuliah. Saya tidak mahu ketinggalan dan hanya ‘ponteng’ kuliah jika ditahan di wad, biasanya ketika penyakit aktif,” kata Shazana Liani Mohd Sani, 23, pelajar terbaik Diploma Pendidikan Awal Kanak-Kanak Islam, Kolej Islam Antarabangsa yang menghidap penyakit sendi, artritis reumatoid.

“Sepanjang pengajian, memang kerap saya dimasukkan ke hospital. Namun dugaan ini menguatkan semangat untuk belajar. Sebagai ganti waktu yang ‘hilang,’ saya gandakan usaha mengulang kaji, kerap berjumpa pensyarah untuk nasihat dan memastikan setiap tugasan dilaksanakan sebaik mungkin,” katanya pada Majlis Konvokesyen Ke-5 Kolej Islam Antarabangsa di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), di sini, semalam.


Antara rahsia kejayaan Shazana yang kini melanjutkan pengajian peringkat ijazah dalam bidang sama di sebuah universiti di United Kingdom ialah sentiasa berfikiran positif dan menerima anugerah Allah dengan hati terbuka walaupun doktor pernah memberitahu penyakitnya boleh menyebabkan dia lumpuh atau cacat sepanjang hayat jika tidak dikawal.


Pelajar terbaik Sijil Pendidikan Montessori, Fariza Ariffah Zabir, 27, yang turut memiliki Ijazah Kejuruteraan Bioperubatan, bersyukur dengan pencapaiannya walaupun terpaksa menghampakan ibu bapanya yang mahukan dia meneruskan pekerjaan sebagai jurutera.


“Mulanya memang saya bekerja sebagai jurutera tetapi berhenti dan menjadi guru tadika Montessori.

“Saya lebih tertarik pada pendidikan kanak-kanak dan ingin tahu lebih banyak mengenai mereka; mungkin ini adalah pengaruh anak buah yang masih kecil. Bagaimanapun, saya tidak kesal kerana bidang ini lebih dekat dengan masyarakat.


“Saya mahu terapkan nilai-nilai agama pada murid saya. Walaupun saya belajar pendidikan Montessori tetapi mempunyai pendekatan Islam dan saya fikir ia penting supaya nilai agama boleh dipupuk sejak kecil.


“Sebagai bakal ibu, saya bimbang jika gejala sosial remaja akibat kurang penghayatan agama berlaku pada anak saya,” katanya.


Pelajar terbaik Diploma Sains Komputer yang kini menjadi mahasiswa tahun dua di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Nor Adzlan Jamaludin, 22, berkongsi dua petua kejayaannya iaitu memasang niat mahu belajar setiap hari sebelum ke kuliah dan memilih bidang yang diminati.


“Apabila kita berniat mahu belajar, insya-Allah tumpuan akan lebih baik kerana menjadi tekad atau cita-cita. Malah, proses belajar akan jadi lebih mudah jika kita mengambil subjek yang disukai,” katanya.


Pada konvokesyen untuk 1,077 pelajar peringkat diploma dan sijil daripada lapan jurusan yang dirasmikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mejar Jen Datuk Seri Jamil Khir Baharom itu, 10 pelajar diisytiharkan sebagai pelajar terbaik dalam bidang masing-masing, termasuk iaitu Anugerah Pencapaian Terbaik Kokurikulum (diterima Muhammad Nabil yang turut dinobatkan sebagai Pelajar Terbaik Keseluruhan).


Tahun ini juga satu kategori khas diperkenalkan iaitu Anugerah Kemanusiaan diberi kepada bekas pelajar Diploma Pentadbiran Perniagaan, Allahyarham Muhamad Nur Salam Husin dan ia diterima ayahnya, Husin Salamon.

Anugerah ini diberikan bagi mengenang jasa Muhamad Nur Salam yang lemas pada 31 Mac 2008 selepas menyelamatkan rakan sekelas.

Original article taken from here

*Well Done Pari from Case Alumni Malaysia!*